Hujan Derita

Bagai menunggu si dia pada janji temu yang pertama. Rasa gelisah rasa berdebar rasa teruja. Semuanya pada masa yang sama. Hati berdetak kencang. Lagu yang biasa didendang sudah lama tersasar dari irama asal. Celaru. Tempang bunyinya.

Saat ini tiada lagi rasa mahu terus menunggu. Penantian ini amat menyeksakan aku. Biar aku mendapatkan mu. Lalu langkah menapak lemah. Tidak terasa berpijak pada tanah. Aku koyal dalam debaran. Harapan indah mula dipijak rakus. Bagaikan mustahil ia bakal membenih.

Sederas degup jantung berlari, kini aku sudah ketemu kamu. Tepat tebahan hati yang merasa sangsi akan kekuatan jiwa mu. Wajah sungul ku dekati. Aku tahu hati itu tiada sabar mahu meraung menzahirkan kekalahan dan kecelaruan.

Belum sempat ku raih bahu, hujan derita gugur jua. Terasa jiwa ditebuk peluru. Hati pula di toreh pisau tumpul. Seksanya terus menggila.