Aku : Lapan tahun

Tiba-tiba aku rindukan dia. Aku rindu aku yang berusia lapan tahun. Masa lapan tahun aku baru pindah sekolah baru, rumah baru dan keadaan keluarga yang baru. Masa itu aku senang terima yang mama harus keluar mencari rezeki untuk kami. Aku senang terima yang aku hanya ada mama sebagai orang tua. Aku senang terima yang aku kena kemas rumah dan siapkan adik adik sebelum pergi sekolah sebabnya aku sekolah petang dan itu adalah tanggungjawab aku.

Aku waktu itu sangat dewasa. Aku mencebik bila tonton rancangan bersamamu, papar budak sepuluh tahun kena belajar goreng ikan sebab keluarga susah, sedang aku sudah pandai semua hal rumahtangga.

Tapi sekarang aku menangis bila aku teringat yang adik aku meraung bila aku hantar pergi rumah pengasuh. Aku menangis bila teringat keadaan mereka masa kecil dulu. Aku menangis sebab dulu aku tak pernah mengeluh.

Aku rindu dia. Aku mahu bertemu dan tanyakan dia, mana dia dapat hati yang kuat sebegitu. Sebab aku terlalu lembik dan lemah. Tapi dia terlalu jauh. Ada di dua puluh tahun yang lalu.