Buat Kali Kedua

menulis untuk merasa kembali perasaan buat kali kedua.

mahu aku menulis semuanya. kalau boleh mahu di nyatakan satu persatu perasaan saat berhadapan dengan kamu. langkah yang ku hayung goyah dengan mimik lidah terjelir memanifestasi kan perasaan yang bercelaru dan gementar. sungguh. hanyalah Tuhan yang Maha Mengetahui.

aku persembahkan aku sebaiknya. saat menutur walau tergagap sekali dua, aku tetap yakinkan hati yang aku mampu lakukan dengan sebaiknya. sebaik mungkin. walau sorot mata kita hanya bertemu sekali dua kerana malu. kerana menjaga hati. kerana takut kalau terpanah hati.

setepatnya mahu ku labuhkan punggung pada sofa empuk merah agar berkurang gigil kaki ku. seperti mahu lumpuh rasanya. sepertinya selepas berurusan dengan kamu, aku harus ke pusat rehabilitasi memulih kaki ku. memulih otot jantung yang berdetak bagai mahu berperang. sebenarnya aku sedang berperang.

tiada lambai mesra saat aku melangkah meninggalkan kamu yang makin kaku. tak mampu lagi menghadap ujian yang aku sendiri memilih untuk menjalaninya. kalau detik masa di kira hanyalah beberapa saat, bagi ku cukup lama aku berdiri di samping mu.

aku pergi dahulu. tidak mahu berpaling lagi menjawab ucap terima kasih mu. walau aku terima gerak laku mu seadanya, aku tetap takut akan takdir di hari depan.

lihatlah. aku telah merasai debarannya buat kali kedua.