Aku tak pernah cerita tentang keadaan dan perasaan yang sebenar masa aku buat master. Bila bagi tahu aku tengah master semua orang macam wow, budak bijak, budak rajin, budak gila study. Padahal hanya aku yang tahu sebijak mana, serajin mana dan segila mana sebenarnya aku.
Sekali pandang orang akan nampak semuanya senang. Masuk makmal, pergi conference, jalan, makan. Semuanya indah. Tapi tak siapa tahu berapa kali aku nak berhenti belajar. Berapa banyak kali aku menangis sendiri. Aku terlampau tertekan sampai migrain teruk, makan paracetamol berapa biji pun tak jalan. Sebab tidak akan ada orang yang faham perihal belajar kau, projek kau, makmal kau, ujian kau, perasaan kau.
Kalau orang lain rasa: lama gila belajar, bila nak habis? Terus rasa terluka. Orang asyik merungut, tak sabar nak tengok aku habis belajar, ada master, kerja best. Tapi orang tidak tahu, berapa malam aku tak tidur, berapa banyak hari aku sakit sendiri, berapa jauh aku berjalan sampai lencun baju di timpa hujan. Manusia sentiasa menunggu di pengakhiran untuk memuji atau menghina, tanpa melihat kisah di sejauh perjalanan masa.
Kalaulah mereka tahu perjalanan yang aku juang kan ini terlalu sunyi, pasti mereka menangis melihat luka yang aku jahitkan sendiri. Aku mahu berhenti, buah fikiran ini datang bertamu berkali - kali. Tapi ianya bukanlah jalan yang aku ingini, sebab sudah banyak masa, wang dan air mata yang aku telah laburkan. Adakah mahu ianya hilang tanpa balasan.
Kalau aku habis belajar pun, aku tidak akan jadi seperti yang biasanya orang mahu kan. Sebab aku tak suka hidup dalam keadaan yang kau rasa ianya kebiasaan.