Chek

Aku turun dari kereta dengan amarah. Mata masih tak mampu di celik sebab tidur yang lama. Pintu kereta di hempas tanda protes. Aku marah dalam rasa mengantuk.

"Kena beli juga, nanti budak-budak tu berharap."

Kata-kata si tua tu tak mampu padamkan api kemarahan aku. 'Sebab selalu ajar macam tu'. Getus hati. Bila lihat jam menunjukkan pukul 2 pagi, lagi buat amarah ku membuak. Pukul 2 pagi berhenti 7e semata nak beli jajan?

Pintu kedai di kuak. Nenek berpauk di lengan aku minta sokongan. Sebenarnya aku dah terbiasa dengan keadaan nenek sebegitu. Kalau tiada yang memimpin masa nak melangkah, dia akan capai mana-mana tempat untuk bergantung. Kalau aku boleh bantu orang tua lain takkan nenek sendiri nak dibiar sahaja.

Kedai diimbas mencari jajan yang selalu dibeli sebagai buah tangan buat cucu kesayangan. Aku tahu jajan yang mana. Sebab akulah yang selalu teman nenek bila dia mahu membeli belah. Aku marah sebab nenek terlampau baik hingga kadang cucunya jadi kurang ajar. Tapi dia tak pernah lupa cucunya walau jauh mana dia bermusafir, walau banyak negeri dia pergi, pasti akan ada buah tangan buat mereka.

Dengki? Telalu jauh untuk dirasa sebab aku dapat lebih dari mereka masa nenek muda dulu. Ya masa nenek muda. Masa nenek masih kuat fizikalnya. Masa nenek masih ada banyak duit untuk di belanja sebab masa tu nenek masih bekerja. Aku paling rapat dengan nenek sebab selalu teman nenek pergi dengar ceramah. Balik ceramah nenek akan belikan makanan, buku, telekung, sejadah, tudung, sampaikan adik beradik aku gelarkan aku cucu kesayangan nenek sebab kami terlalu rapat.

"Yang ni ke?"

Tanya nenek. Aku diam. Aku masih marah. Aku takut kalau aku jawab, keluar jawapan yang aku sendiri tidak mahu dengar. Aku jalan ke bahagian peti sejuk.

"Sini chek. Yang ni selalu kita beli."

Nenek aku senyum. Jajan di capai sampai tak cukup tangan. Terus dia berlalu ke kaunter. Aku diam menyoal hati. Kenapa nak ego sangat pagi ni, dia dah tua, jalan pun tak larat. Kau buat bising dalam kepala menangkan syaitan.

Bukan aku buta. Aku nampak masa R&R tadi. Masa tunggu nenek selesai solat. Aku perhati yang pergerakkan dia sudah terbatas, tak laju macam dulu. Makan dah tak lalu. Cakap pun dah tak banyak. Kadang tidur pun tak lena. Aku nampak nenek makin tua, makin uzur. Makin pelupa, makin kebudak-budakkan. Aku sedih sendiri. Aku tak mampu nak hadap kalau nenek tiada. Dalam sebanyak pengorbanan aku jadi tukang pimpin nenek, lagi banyak pengorbanan nenek besarkan aku.
Masa kami betul-betul susah dulu. Aku banyak termenung. Masa siang ayam pun aku sempat termenung. Nenek datang duduk tolong aku siang ayam. Tiba-tiba nenek kata;

"Tak selamanya kita susah. Allah tu Maha Kaya."

Sekarang kami dah senang tapi masa dia susah pula yang tiba. Aku harap nanti kalau aku baca balik cerita ni aku takkan menyesal sebab turun kereta dengan muka bangun tidur semata-mata teman nenek beli jajan kat 7e pukul 2 pagi.

Sya'aban
230418
KT - Gambang - Nilai - KB