Seminggu. Rasanya sudah cukup mengambil masa seminggu untuk itu-itu sahaja. Untuk bermalas-malasan. Untuk lari dari keadaan. Untuk fikirkan perkara yang entah-entah. Atau untuk duduk termenung tanpa berfikir. Sekadar menatap dinding yang kosong.
Seminggu sudah cukup untuk membuat perancangan sekadar dalam benak tapi tidak dituliskanpun pada buku-buku nota. Merangka namun tidak dijangka. Sekadar mengingat-ingat sahaja.
Seminggu yang semua kerja terbiar sepi di meja tulis. Tanpa niat untuk menyambung dengan bersungguh. Ala kadar. Namun tugas yang lain tetap diselit dalam pesan. Dari mesej atau email yang bertalu-talu meminta perhatian untuk dikerjakan. Namun niat berhempas pulas, bersungguh dalam mengerjakan masih belum tiba.
Seminggu yang diselak hanyalah kenangan. Juga mencari asbab hal-hal yang dirasakan pincang. Seminggu yang aku temukan tabiat menyalahkan diri berurusan dengan Tuhan pada masa manusia menjadi salah saat berurusan dengan ku.
Seminggu yang aku berikan masa pada diri untuk menjadi diri yang disejatikan kembali. Seminggu yang aku harap dapat dikumpul bekal kuat untuk setahun lagi.