untuk kesekian kali aku menumpang kereta dia. memandang sepi pada bantal yang terkoyak. masa tu aku rasa tidak mahu berusaha apapun lagi untuk merawat luka yang terbuka.
ketika kami mula berkongsi ruang yang sama, aku mula cuba berada dalam hidup dia. mula berada dalam kereta yang aku rasa canggung namun adakala itu tempat yang nyaman untuk tidak bersuara. duduk diam di belakang menikmati perasaan sendiri. yang pada aku dia memberi ruang untuk aku menenangkan diri setelah hiruk pikuk hari yang panjang.
dari situ aku mula perasaan, ada bantal di kerusi belakang kereta yang terkoyak. yang sudah di jahit tapi terbuka lagi. aku juga perasan pada hati yang terluka yang cuba di bawa dalam gelak ketawa.
bila teringat akan bantal yang terkoyak aku mula bawa benang di dalam tas tangan. kalau nanti ada masa yang aku tumpang kereta itu lagi, aku akan jahit. juga aku bawa rasa perihatin bila hari-hari bersama dia. agar dapat aku bebat hati yang aku rasakan lukanya tak di tanyakan.
acap kali bila menumpang aku tak bawa tas yang ada benang, acap kali juga bila bawa benang tapi keadaan tidak mengizinkan. juga ada masa yang aku bawa rasa perihatin namun tak terluah menjadi perkataan dan pertanyaan.
namun bila di fikirkan semula, telah banyak pertanyaan yang aku ajukan. telah banyak juga usaha untuk cuba menjahit bantal yang terkoyak itu. yang pada akhirnya aku merasakan aku bukanlah orang yang layak untuk bertanya lagi. bukan juga aku orang yang layak untuk menjahit bantal itu lagi.
mungkin diam aku di belakang, juga diam nya kami dalam ruang yang sama bukanlah bermaksud dia memberi aku ruang, tapi keadaan itulah yang dia mahukan. untuk aku tidak bertanya dan mengambil tahu juga untuk dia tidak bercerita. hinggakan aku mula merasakan seperti datang tak di jemput, pulang tidak di hantar. kerana yang selalu melambainya pulang ialah aku.
pada petang itu aku tumpang dan hadir dalam hidup dia lagi. berkongsi ruang masa yang sama untuk kesekian kali. aku bawa tas yang di simpan benang dan jarum namun hanya memandang diam pada luka di wajah yang sepi menatap lampu merah. dan aku tidak lagi berusaha atau bersusah payah sendiri untuk menjahit bantal atau bertanyakan pada hati yang terluka. yang aku lakukan hanyalah menarik kemas jahitan yang longgar. tidak terniatpun mahu di simpulkan juga. hanya itu. hanya sekerat usaha yang aku rasakan cukup untuk tidak di teruskan lagi. supaya tidak di tanya kenapa aku gigih menjahit bantalnya, kenapa juga aku bersungguh untuk bertanya akan lukanya.